Skip to content

Pemuda SAPP Puji Tindakan PDRM tangani Abu Sayyaf

Kota Kinabalu, 19 Mei 2021

Pergerakan Pemuda Parti Maju Sabah (SAPP) dalam kenyataannya hari ini memuji keberanian dan kesiagaan pasukan PDRM dan anggota keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) sehingga berjaya melaksanakan operasi mereka membenteras keberadaan anggota pengganas Abu Sayyaf yang bersembunyi di sebuah kawasan hutan berpaya berhampiran Pekan Beaufort.

Beberapa hari sebelum umat Islam menyambut Aidilfitri, masyarakat Beaufort khususnya terkejut dengan penahanan 8 anggota Abu Sayyaf dan pada petang Isnin penduduk sekali lagi gempar dengan berita 5 abu Sayyaf di tembak mati di kawasan yang sama.

Ketua Pemuda SAPP Jamain Sarudin berkata, Beaufort yang disangkakan begitu aman dengan masyarakatnya yang ramah dan pembangunan yang masih rancak mungkin menjadi tarikan kepada kumpulan abu Sayyaf untuk bersembunyi, apatah lagi dikira begitu jauh dari Pantai Timur Sabah.

“menurut laporan PDRM juga mereka menggunakan resit pengenalan sementara palsu, ini sangat membimbangkan kita, apabila mereka dengan mudah menyelinap ke dalam masyarakat” kata Jamain lagi.

Jamain juga berpendapat tindakan kerajaan Sabah mengekalkan SJR di peringkat Zon kemungkinan telah menghalang kumpulan tersebut daripada berpindah dan menyukarkan tugas pihak keselamatan untuk mengesan.

Kita terhutang budi dengan pihak PDRM yang sentiasa peka menjalankan tugas mereka dan tidak menyebabkan penduduk dalam keadaan begitu panik. Sikap profesional mereka yang mementingkan kesejahteraan rakyat patut diterjemahkan oleh masyarakat dengan memberikan kerjasama kepada pihak berkuasa sekiranya terdapat mereka yang tak dikenali ataupun penempatan haram.

Pihak PDRM turut mendedahkan terdapat 624 penempatan haram di seluruh Sabah dan Pemuda SAPP berpendapat ianya berpotensi menjadi sarang persembunyian kumpulan pengganas dan aktiviti jenayah lain seperti dadah dan penyeludupan.

Media pemuda SAPP