Kota Kinabalu, Khamis, 6 November 2025
Perjuangan panjang dan konsisten Dr. Jeffrey Kitingan untuk hak Sabah merentasi dua generasi telah membawa harapan sebenar kejayaan dalam pilihan raya Sabah yang akan datang.
Hari ini, semua orang bercakap tentang tuntutan 40 peratus hasil yang kini telah mencapai taraf keputusan Mahkamah Tinggi dan menjadi isu arus perdana negara.
Dr. Jeffrey, anak jati Sabah yang berani, telah mendokumentasikan tuntutan 40 peratus itu dalam bukunya bertajuk Justice for Sabah yang diterbitkan pada tahun 2006, hampir 20 tahun lalu. Saya berbangga memegang naskhah yang ditandatangani sendiri oleh Dr. Jeffrey ketika kami berdua berada dalam pembangkang.
Pada ketika itu, Menteri Luar Negeri (kini Tan Sri) Anifah Aman telah membantu mengangkat tuntutan 40 peratus kepada kerajaan Persekutuan. Walaupun Dr. Jeffrey dan saya berada dalam pembangkang, kami dibenarkan bercakap tentang MA63, hak 40 peratus dan Borneonisasi di sebuah institusi kerajaan iaitu Universiti Malaysia Sabah (UMS) pada tahun 2015. Pada waktu itu, sebagai pembangkang, untuk masuk ke balai raya kampung pun tidak dibenarkan tetapi kami berpeluang berucap kepada 2,000 hadirin termasuk pegawai tinggi kerajaan, profesor dan mahasiswa. Program tunggal yang dianjurkan oleh Tan Sri Anifah itu telah melonjakkan isu MA63 ke media nasional.
Selain daripada hak dua perlima Sabah dan Borneonisasi, buku tersebut turut menyentuh 20 perkara, kedudukan kedua-dua wilayah Borneo sebagai rakan setaraf, formula pembahagian kerusi parlimen, isu penduduk tanpa dokumen di Sabah, hak pribumi dan pembahagian kekayaan yang tidak adil.
Kini sudah tahun 2025, sepuluh tahun kemudian. Kita rakyat Malaysia di Sabah perlu berganding tangan untuk meneruskan perjuangan bersama demi hak Sabah.
PRU Sabah peluang keemasan untuk mewujudkan kerajaan gabungan parti tempatan
Pilihan raya Sabah yang akan datang ialah peluang keemasan untuk rakyat Sabah bersatu dengan tujuan bersama bahawa Sabah mesti ditadbir oleh gabungan parti tempatan Sabah saja.
Hanya dengan itu perjuangan Dr. Jeffrey boleh diteruskan ke tahap lebih tinggi apabila beliau melangkah lebih jauh dalam kerajaan Sabah. Mengambil kira bahawa Dr. Jeffrey juga seorang pemimpin kanan, beliau boleh terus membawa perjuangan Sabah ke peringkat Persekutuan.
Pilihan raya kali ini ialah peluang terakhir kita untuk menentukan: Adakah kita mahu mentadbir diri sendiri atau tunduk kepada pemerintahan kuku besi?
Rakyat mahu mencontohi kejayaan Sarawak dengan gabungan parti tempatan, bukan pemerintahan parti Malaya atau pemerintahan satu parti Sabah saja.
Mandat mesti diberikan kepada gabungan bersatu parti tempatan Sabah. Inilah satu satunya cara yang menjamin hak penuh MA63 dan memastikan semua keputusan kerajaan Sabah ditentukan di sini, oleh rakyat Sabah, untuk Sabah.
Datuk Yong Teck Lee
Presiden SAPP

