Ahli Majlis Tertinggi merangkap Timbalan Ketua Pemuda Parti Maju Sabah (SAPP), peguam Yong Yit Jee, telah membuat laporan polis terhadap satu hantaran Facebook oleh Mohd Ridhuan Tee Abdullah bertarikh 24 Oktober 2025, yang mengandungi kenyataan berunsur perkauman dan provokasi terhadap pendidikan vernakular Cina serta masyarakat Cina.
Dalam hantarannya, Ridhuan Tee menggunakan bahasa yang kasar dan menghina, termasuk “ultra kiasu,” “kurang ajar,” dan “kena ajar supaya jadi manusia,” serta menuduh sekolah Cina sebagai penghalang kepada perpaduan nasional. Beliau turut menggesa kerajaan menutup atau mengambil alih semua 1,300 Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) di seluruh negara.
Kenyataan seperti ini bukan sekadar pandangan peribadi tetapi mempunyai kecenderungan hasutan di bawah Seksyen 3(1)(e) Akta Hasutan 1948, kerana ia boleh menimbulkan perasaan permusuhan dan kebencian antara kaum. Ia juga boleh disiasat di bawah Seksyen 505(c) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 kerana menyebarkan ketegangan kaum melalui komunikasi dalam talian secara tidak wajar.
“Sebagai seorang graduan Sekolah Menengah Persendirian Tshung Tsin di Kota Kinabalu, saya boleh mengesahkan bahawa sekolah-sekolah Cina dan sekolah vernakular telah melahirkan ramai rakyat Malaysia yang berdisiplin, patriotik dan cemerlang dalam pelbagai bidang. Menyerang sekolah-sekolah ini bukan sahaja penghinaan kepada masyarakat Cina, tetapi juga satu cabaran terhadap Perlembagaan Persekutuan, yang menjamin hak untuk mendapat pendidikan di bawah Perkara 12, termasuk kebebasan memilih pendidikan selaras dengan identiti budaya dan bahasa ibunda,” katanya.
“Sabah dan Sarawak selama ini menjadi contoh keamanan dan toleransi, di mana rakyat pelbagai kaum dan agama hidup bersama dalam semangat saling menghormati. Kita mesti melindungi negeri-negeri Borneo daripada politik toksik yang diimport dari Semenanjung, yang sering memperalatkan isu kaum dan agama demi kepentingan politik. Perpaduan adalah kekuatan kita, dan kita tidak akan membiarkan racun ekstremisme berakar di sini.”
Yit Jee mengesahkan bahawa pihak polis telah merakam keterangannya berhubung laporan tersebut dan akan meneliti kes itu untuk tindakan selanjutnya.
Beliau menggesa pihak berkuasa mengambil tindakan tegas terhadap Ridhuan Tee atas kenyataan berunsur hasutan yang telah diterbitkan secara terbuka di ruang awam. Beliau juga menyeru kerajaan untuk menegakkan nilai kesederhanaan, saling hormat-menghormati dan hak perlembagaan, sambil menegaskan bahawa keamanan serta keharmonian Sabah dan Sarawak mesti dipertahankan walau apa jua keadaan.
Peguam Yong Yit Jee
Majlis Tertinggi merangkap Naib Ketua Pemuda
Parti Maju Sabah (SAPP)

