Skip to content

SAPP: Gabungan Parti Tempatan Halatuju Negeri Sabah

Kota Kinabalu, 30 September 2025

Gabungan parti-parti tempatan Sabah merupakan halatuju paling tepat untuk menghadapi pilihan raya negeri yang akan datang dan untuk membentuk kerajaan Sabah selepas pilihan raya. Mengambil kira penguasaan BN/UMNO di Sabah dan Malaysia kini sudah berlalu, SAPP menggesa rakyat Sabah meneladani model pengurusan politik Sarawak yang terbukti berjaya dan teruji.

Sarawak ialah wilayah Borneo yang dekat dengan kita, berkongsi persamaan dari segi budaya, ekonomi, sejarah dan hubungan dinamik dengan kerajaan Persekutuan. Kedua-dua negeri memperjuangkan MA63 serta menuntut semula hak dan sumber masing-masing.

Seperti yang diketahui umum, Sarawak sejak dahulu hingga kini ditadbir oleh gabungan parti-parti tempatan mereka sendiri. Dalam memperjuangkan hak di peringkat Persekutuan, kerajaan Sarawak tidak pernah berkompromi dengan membenarkan parti Malaya menguasai kabinet atau mana-mana bahagian pentadbiran mereka. Sarawak adalah kisah kejayaan yang nyata.

Parti besar kini bergantung pada parti kecil

Dunia telah berubah. Malaysia sudah berubah. Dan Sabah juga telah berubah. Dahulu, sebelum kejatuhan BN-UMNO pada 2018, parti-parti kecil memerlukan sokongan parti-parti besar untuk menjadi sebahagian daripada kerajaan pusat. Tetapi kini, realiti yang tidak dapat dinafikan ialah parti-parti besar pula bergantung kepada parti-parti kecil untuk membentuk kerajaan. Inilah peluang jendela yang terbuka kepada parti-parti Sabah, sebuah peluang yang mula tercipta sejak BN kehilangan majoriti dua pertiga di Parlimen pada 2008.

SAPP ialah parti tempatan yang sudah merasai situasi jatuh dan bangun, juga mengalami pengalaman pahit dan manis. Berdasarkan pengalaman ini, kami yakin bahawa pilihan terbaik untuk rakyat Sabah dalam pilihan raya akan datang ialah sebuah gabungan parti-parti tempatan yang bebas dan bertanggungjawab kepada rakyat Sabah.

Kewangan persekutuan bergantung pada sumber Sabah dan Sarawak

Bertentangan dengan gambaran rasmi persekutuan mengenai hasil negara, kini sudah menjadi pengetahuan umum bahawa kerajaan persekutuan bergantung kepada hasil dan kekayaan Sabah serta Sarawak untuk menampung bajet dan membayar hutang negara. Malah Petronas juga memerlukan minyak dan gas dari kedua-dua negeri ini untuk mengekalkan keuntungannya.

Masalahnya, Sabah juga amat memerlukan sumber kewangan yang sama bagi membangunkan infrastruktur, projek tebatan banjir, pendidikan, kesihatan dan ekonomi negeri. Oleh itu, Sabah memerlukan parti-parti tempatan yang pemimpinnya bertanggungjawab kepada rakyat Sabah.

Calon Sabah ditentukan dari KL?

Seperti yang rakyat sabah saksikan sekarang, calon-calon daripada parti-parti berpusat di Semenanjung terpaksa mendapatkan kelulusan daripada tuan politik mereka untuk dicalonkan. Jika mereka terpilih menjadi wakil rakyat, tidakkah mereka juga akan tunduk kepada arahan tuan politik yang sama?

Malah, untuk melancarkan jentera pilihan raya di peringkat tempatan sekalipun, pemimpin-pemimpin ini masih memerlukan kehadiran pemimpin pusat. Bagaimana mungkin kita mengharapkan mereka memperjuangkan hak Sabah tanpa rasa takut atau pilih kasih? Jawapannya amat jelas.

Hanya parti Sabah layak bertanding dalam pilihan raya negeri

SAPP konsisten dengan pendirian bahawa pilihan raya negeri Sabah harus ditandingi hanya oleh parti-parti politik tempatan kerana hanya parti tempatan yang benar-benar bertanggungjawab kepada rakyat Sabah. Sebaliknya, parti bukan tempatan tetap terikat dengan arahan tuan politik mereka di luar Sabah.

Atas sebab inilah, apabila Perikatan Nasional berkeras untuk bertanding di Sabah, SAPP mengambil keputusan untuk keluar daripada pakatan itu pada Disember 2024 kerana niat PN tidak selari dengan pendirian kami.

Biar rakyat Sabah sendiri menentukan kerajaan negeri. Kerajaan Sabah harus menghormati kerajaan Persekutuan yang mentadbir, dan begitu juga sebaliknya. Dengan cara ini, barulah kita dapat menjamin kestabilan politik.

Selepas lebih enam dekad Malaysia sebagai sebuah persekutuan tiga wilayah (Tanah Melayu, Sabah dan Sarawak) kita boleh menjadikan Malaysia berfungsi sebagai sebuah negara mempunyai tiga wilayah yang cergas, makmur dan aman.

Datuk Yong Teck Lee
Presiden, SAPP
mantan Ketua Menteri Sabah (28 Mei 1996 – 27 Mei 1998)