Skip to content

Yong: Perkhidmatan diteruskan walaupun tiada lagi geran projek kecil untuk ADUN Dilantik

Yong and Community Development Officer, Dexter Chin (陈震声), holding copy of the Laporan Pelaksanaan Projek Khas ADUN DILANTIK 2021-2024

Kota Kinabalu, Selasa, 20 Mei 2025

Pejabat ADUN Dilantik akan meneruskan perkhidmatan kami dengan sebaik mungkin walaupun geran projek kecil tahunan sebanyak RM100,000.00 untuk ADUN Dilantik telah dihentikan pada tahun 2025.

Dengan berat hati saya perlu memaklumkan kepada pemohon bahawa tiada peruntukan projek kecil pada tahun ini untuk pemohon yang telah menunggu sejak tahun lalu lagi.

Sebarang aduan atau permohonan Kebajikan dan pembangunan biasa seperti perhentian bas, pembaikan taman permainan, longkang konkrit, dan bahan baikpulih rumah , tangki air, polipaip dan sebagainya akan dimajukan kepada pihak berkuasa berkaitan seperti Dewan Bandaraya (DBKK), Jabatan Kerja Raya (JKR), Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Jabatan Ketua Menteri.

Sekiranya terdapat sebarang pembangunan dan projek-projek kecil yang mendesak, saya menasihatkan penduduk Kota Kinabalu supaya mengemukakan permohonan kepada ADUN-ADUN kerajaan yang telah diperuntukkan RM3.0 juta hingga RM4.0 juta setiap ADUN setiap kawasan Inanam, Likas, Api Api, Luyang dan Kapayan bagi tahun 2025.
Pemberian tahunan bagi 2023 dan 2024 ialah RM3.0 juta bagi setiap ADUN yang dipilih.

Saya difahamkan Ahli Parlimen Kota Kinabalu dan Sepanggar (Ahli Parlimen kerajaan) mempunyai geran persekutuan mereka sendiri berjumlah beberapa juta ringgit bagi seorang Ahli Parlimen.

Bagi geran projek kecil tahunan sebanyak RM100,000.00 yang diperuntukkan kepada ADUN Dilantik bagi tahun 2021, 2022, 2023 (RM50,000.00 dibelanjakan) dan 2024, geran ini telah dibelanjakan untuk perhentian bas Jalan Damai dengan lampu solar, Pembaikan dan Naik Taraf Taman Permainan Taman Jaya, Pembaikan dan Naik Taraf Taman Likas. gelanggang bola keranjang dan taman permainan di Dah Yeh Villa. Projek kecil lain termasuk longkang konkrit berbumbung dan laluan pejalan kaki di Taman Likas dan pembaikan jalan di Kg. Kopungit. Tangki air, polipaip, bahan baikpulih rumah telah diagihkan kepada mangsa banjir, mangsa kebakaran di kawasan Kota Kinabalu dan penduduk kampung di Signal Hill, Fung Yi Ting/Dah Yeh Villa, Taman Keramat, Kg. Likas, dan Surau Kg. Unggun (Menggatal).

Semua kerja yang jalankan adalah berdasarkan spesifikasi dan Bil Kuantiti DBKK.

Datuk Yong Teck Lee
ADUN Dilantik