Ulang Tahun SAPP ke-29, Upacara “Yee Sang”



KOTA KINABALU, 29 Januari 2023 – Parti Maju Sabah (SAPP) akan menyiapkan kertas konsep, mengkaji cadangan dan strategi dalam tahun ini dan ianya akan dikemukakan kepada YAB Ketua Menteri kelak Sabah, berhubung tiga cabaran utama global dan serantau yang memberi impak kepada Sabah, iaitu Keterjaminan Wilayah, keterjaminan Tenaga dan Keterjaminan Makanan, kata Datuk Seri Panglima Yong Teck Lee.
Yong, yang merupakan Presiden SAPP berkata, pembentukan tiga jawatankuasa khas telah diluluskan dalam kongres terakhirnya pada 3 September 2022.
Keterjaminan Wilayah
“Yang pertama, Keterjaminan Wilayah, melibatkan ancaman luar terhadap wilayah kita.
“SAPP berpandangan bahawa wilayah maritim Sabah harus melangkaui 200 batu nautika selaras dengan Perintah-dalam-Majlis Borneo Utara 1954.
“Sebenarnya, SAPP telah membantah Akta Laut Wataniah 2012 (Akta 750) sejak 2018,” kata Yong ketika menyampaikan ucapannya pada sambutan Ulang Tahun ke-29 SAPP, di Dewan Hakka, di sini.
Yong memuji Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor kerana tegas dalam melindungi hak Sabah.
“Dalam konteks ini, SAPP sangat berbangga dan menyokong penuh pendirian tegas YAB Ketua Menteri dalam menolak Akta 750 ini, (kerana) Akta ini mengehadkan wilayah maritim kepada 3 batu nautika dan menyekat keupayaan Sabah untuk menguatkuasakan undang-undang Sabah kita di luar Had 3 batu nautika.
Keterjaminan Tenaga
“Kedua, mengenai Keselamatan Tenaga. Cabaran Keterjaminan Tenaga timbul daripada konflik dan peperangan.
“SAPP memuji kerajaan Sabah atas penubuhan Suruhanjaya Tenaga Sabah (EcoS). Ia adalah satu langkah untuk menghasilkan dan memantau serta mengawal sektor tenaga kita sendiri.
“Dua enakmen yang diluluskan Dewan Undangan Negeri Sabah baru-baru ini menunjukkan komitmen kerajaan Sabah di bawah pimpinan Hajiji untuk memastikan sumber asli kita diuruskan oleh Sabah.
“Secara kebetulan, SESB juga merancang untuk membangunkan konsep Grid Serantau berasaskan sumber asli, di mana satu siri penjanaan kuasa hidro-elektrik mini dan mikro boleh dipertimbangkan.
“Mengekploitasi tenaga gas di Pantai Barat Sabah, tenaga solar di wilayah utara Sabah, manakala di Pantai Timur Tenaga dari Bio-jisim dan penukaran Tenaga Thermal Lautan atau Ocean Thermal Energy Conversion (OTEC)”.
Yong berkata berikutan unjuran peningkatan permintaan tenaga daripada 1,000 megawatt pada 2023 kepada sekurang-kurangnya 1,200 megawatt pada 2033, SAPP percaya bahawa peralihan daripada bahan api fosil kepada tenaga boleh diperbaharui seperti hidro-elektrik, solar dan biojisim perlu diterokai.
Keterjaminan Makanan
“Ketiga, mengenai Keterjaminan Makanan, seperti yang kita tahu, sesetengah negara menghadapi kekurangan makanan kerana pecahan rantaian bekalan dan sebab-sebab lain.
Berikutan dengan pertumbuhan penduduk dan meningkatnya urbanisasi, Sabah tidak terkecuali akan menghadapi tekanan kepada pengeluaran dan akses bekalan makanan, terutamanya semasa inflasi, dengan kebergantungan import bagi mengisi 40% keperluan bekalan di Sabah.
“Sabah bakal terdedah kepada turun naik harga dan gangguan bekalan yang pastinya peningkatan kos yang akan membebankan rakyat”.
“SAPP berpendapat, untuk menjamin bekalan makanan mencukupi bukan setakat memampankan sektor pertanian dan meningkatkan pengeluaran domestik, tetapi ianya memerlukan lebih banyak usaha jangka panjang untuk Sabah. Antaranya, Sabah harus mendapatkan kembali haknya untuk mengimport dan mengeksport beras, dengan cara demikian, rakyat akan mendapat manfaat dengan harga makanan beras dan bekalan dapat distabilkan”. kata Yong.
Pada masa yang sama, SAPP akan terus meneruskan tiga isu utama yang telah dibangkitkan di Dewan Undangan Negeri pada 22 Mac 2022, iaitu IC Sabah, Pemulangan Labuan ke Sabah, dan pengeluaran laporan nahas udara Double-Six.
Dengan hasrat memajukan Sabah menjadi sebuah wilayah yang kompetetif, SAPP juga mencadangkan supaya Bahasa Inggeris dijadikan sebagai Bahasa Rasmi di Sabah.
“Penggunaan bahasa Inggeris di Sabah dan Sarawak telah diiktiraf secara rasmi sejak penubuhan Malaysia di bawah MA63 (Perjanjian Malaysia 1963). Sebagai rujukan, bahasa Inggeris masih digunakan sebagai bahasa rasmi di mahkamah di Sabah dan Sarawak.
Yong berkata SAPP melihat “Sabah Maju Jaya” (SMJ) sebagai hala tuju dan konsep yang sangat jelas dan bermanfaat kepada Sabah. SMJ adalah slogan dari zaman Sabah Merdeka dan digunakan semula sekarang.
Sementara itu, Yong berkata SAPP sebagai komponen GRS mengisytiharkan kesetiaannya kepada GRS di bawah pimpinan YAB Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Bin Haji Noor.
“Kami berpandangan bahawa GRS perlu diperkukuhkan sebagai gabungan parti tempatan Sabah. Dalam hal ini, SAPP sebagai parti tempatan yang terbukti mempunyai daya tahan, boleh memainkan peranan di kawasan berkenaan,” tegas Yong.

