Skip to content

Yong: Tanpa Takut atau Memihak

Kota Kinabalu, Selasa, 2 Disember 2025

Semua akhbar Cina hari ini menyiarkan tajuk utama “Tiada Orang Cina dalam Kabinet.” Kebimbangan yang jelas dalam kalangan masyarakat Cina ini mendorong saya mengeluarkan kenyataan ini tanpa rasa takut atau memihak.

Seperti mana-mana Ketua Menteri, Ketua Menteri yang baru dilantik semula, Datuk Seri Hj Hajiji Hj Noor, berhadapan dengan banyak tokoh politik serta isu-isu kompleks untuk ditangani. Pada akhirnya, seorang Ketua Menteri perlu mengambil kira dari mana datangnya sokongan beliau dan siapa yang mampu membantu menstabilkan kerajaan. Faktor inilah yang menjelaskan komposisi Kabinet hari ini, yang menurut perlembagaan dan konvensyen, merupakan budi bicara mutlak Ketua Menteri.

Warisan Telah Membawa Masyarakat Cina ke Bangku Pembangkang, Sekali Lagi

Undian rahsia menunjukkan dengan jelas siapa yang menjadi pilihan besar majoriti pengundi Cina sebagai Ketua Menteri. Ketua Menteri pilihan mereka itu, pemimpin Warisan, sering berbangga dengan dakwaan bahawa beliau meraih sokongan masyarakat Cina pada tahap yang belum pernah berlaku sebelum ini. Namun, realitinya amat pahit: beliau telah sekali lagi membawa masyarakat Cina ke pihak pembangkang.

Realiti ini turut terserlah semalam apabila Ahli Dewan Undangan Sabah (ADUN) Likas yang baru dipilih meluahkan “perasaan bercampur-baur” kerana berjaya dipilih tetapi malangnya berada dalam parti pembangkang. Mungkin beliau menjangkakan akan dilantik sebagai Menteri Pendidikan Sabah. ADUN Likas itu telah menghabiskan seluruh kerjayanya sebagai pegawai kerajaan. Namun kini, beliau bukan lagi seorang pegawai kanan jabatan kerajaan. Kehidupan sebagai pembangkang adalah sukar, terutamanya bagi bekas pegawai kerajaan yang terbiasa dengan kemudahan kerajaan, dimana pintu yang sentiasa terbuka untk pegawai dan panggilan yang segera dilayan.

2020 Juga Tiada Wakil Cina dalam Kabinet, Namun Hajiji Kekal Inklusif

Ketiadaan wakil Cina dalam Kabinet bukanlah perkara baharu; ia juga berlaku selepas pilihan raya September 2020. Pada waktu itu, kemarahan masyarakat Cina dapat difahami berikutan tindakan pembelotan yang menyebabkan kejatuhan kerajaan Warisan-PH.

Namun, seperti yang diketahui oleh para pemimpin masyarakat Cina, Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji ialah pemimpin yang inklusif dan memimpin untuk semua rakyat Sabah. Masyarakat Cina tidak pernah diketepikan daripada arus pembangunan. Untuk tempoh lima tahun mendatang, saya tidak menjangkakan sebarang perubahan terhadap sifat inklusif kepimpinan beliau.

Bank Undi Cina Bukan Simpanan Tetap Mana-mana Pihak

Nasihat saya kepada masyarakat Cina sentiasa sama: fahamilah landskap politik Sabah secara keseluruhan, bukan hanya realiti di kawasan bandar majoriti Cina.

Pilihan raya yang lalu membuktikan bahawa masyarakat Cina tidak terikat dengan kesetiaan tegar terhadap mana-mana parti. Seperti mana bank undi Cina bukan simpanan tetap DAP, ia juga bukan milik Warisan atau mana-mana parti lain.

Datuk Yong Teck Lee
Presiden SAPP
Mantan Ketua Menteri

kapsyen: “Yong meneliti akhbar-akhbar Cina hari ini.”