Skip to content

Yong: Bajet 2026 Ujian Pertama Kuantum 40%

Kota Kinabalu, Isnin, 1 Disember 2025

Pembentangan Bajet 2026 pada akhir bulan ini akan menjadi ujian pertama tentang bagaimana kerajaan Sabah yang baharu dipilih menangani tuntutan terhadap pemulangan hasil bersih 40%.

Dengan penghakiman Mahkamah Tinggi mengenai 40% yang memihak kepada Sabah, kini menjadi tanggungjawab kerajaan Sabah untuk memasukkan dalam Bajet 2026 anggaran jumlah yang bakal dituntut daripada Kerajaan Persekutuan serta jumlah yang dijangka diterima oleh Sabah pada tahun 2026. Kegagalan berbuat demikian akan dilihat oleh rakyat Sabah sebagai pengabaian tanggungjawab sepenuhnya, sekali gus menafikan kuasa penghakiman Mahkamah Tinggi tersebut.

Adalah munasabah untuk mengandaikan bahawa kerajaan Sabah kini telah mempunyai data dan kiraan tersendiri mengenai kuantum hasil bersih 40% bagi setiap tahun. Bagi 48 “tahun yang hilang”, pengiraan mungkin mengambil masa yang lebih panjang, namun Menteri Kewangan Sabah mesti menyatakan dengan jelas dan tepat bahawa kerajaan Sabah akan menuntut jumlah penuh bagi keseluruhan 48 tahun tersebut.

Kenyataan Perdana Menteri

Kerajaan Sabah mungkin berdepan situasi sukar kerana Perdana Menteri telah mengisytiharkan secara terbuka bahawa Kerajaan Persekutuan membelanjakan RM17 bilion setahun di Sabah tetapi hanya mengutip RM10 bilion setahun daripada Sabah. Mengikut aritmetik mudah yang boleh dikira dengan sepuluh jari, kenyataan Perdana Menteri itu seolah-olah menunjukkan bahawa Kerajaan Persekutuan tidak berhutang walau satu sen pun ke atas hasil Sabah.

Maka, apa pula kedudukan RM600 juta setahun yang dibayar oleh Kerajaan Persekutuan kepada Sabah yang kononnya merupakan “bayaran interim”?

Datuk Yong Teck Lee
Presiden SAPP
Mantan Ketua Menteri