Skip to content

Yong: Campur tangan politik oleh Menteri Pembangunan Perindustrian, punca kerosakan Pusat Perdagangan Sabah di Likas

KOTA KINABALU, Jumaat, 21 November 2025:

Campur tangan politik dalam pengurusan dan penggunaan Pusat Perdagangan Sabah (STC) di Likas telah menyebabkan kerosakan serius terhadap pusat tersebut, sehingga memerlukan sekurang-kurangnya RM8 juta bagi tujuan pembaikan.

Tidak sampai dua bulan selepas Menteri, Datuk Phoong Jin Zhe, memegang jawatan pada awal tahun 2023, kementerian beliau telah menutup Pusat Perdagangan yang ketika itu masih berfungsi dengan baik. Selepas penutupan tersebut, kementerian gagal sepenuhnya menjaga dan menyelenggara harta kerajaan berkenaan. Akibat kegagalan ini, pusat tersebut telah mengalami kerosakan dan vandalisme. Keadaan yang dibiarkan terabai ini amat menyedihkan. Campur tangan politik yang tidak wajar ini merupakan satu bentuk kecuaian pada tahap tertinggi.

Oleh itu, adalah sesuatu yang amat bercanggah dan mengelirukan apabila Menteri sementara, yang kini cuba berpindah dari kawasan Luyang ke kawasan Likas, mendakwa bahawa beliau datang ke Likas untuk bekerja dan melaksanakan agenda “Likas Bahagia”.

Hakikatnya, satu-satunya tindakan beliau sebagai Menteri, adalah menjadi penyebab kepada kerosakan terhadap salah satu aset kerajaan yang paling penting di Likas.

Dibuka pada 17 Februari 1997 ketika saya menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri Likas dan Ketua Menteri, Pusat Perdagangan Sabah direka bentuk sebagai bangunan yang memerlukan penyelenggaraan rendah. Ia merupakan pusat perdagangan khusus pertama di Sabah, dibangunkan berdasarkan visi untuk mempromosikan perusahaan tempatan.

Menteri Caretaker Perlu Memohon Maaf kepada Penduduk Likas

Saya menyeru Menteri caretaker ini untuk menjelaskan sebab sebenar beliau menutup pusat perdagangan tersebut secara sewenang-wenangnya dan memohon maaf kepada penduduk Likas kerana menafikan penggunaan aset utama di kawasan ini.
Tiada apa yang boleh dianggap “bahagia” apabila melihat ikon kebanggaan Likas dibiarkan rosak dan reput sedemikian rupa.

Sebelum ini, tindakan beliau yang menjejaskan Likas adalah dengan memusnahkan Wisma Kosan. Kita tidak boleh membiarkan perkara yang sama berlaku terhadap STC.

Datuk Yong Teck Lee
Mantan Ketua Menteri (Mei 1996 – Mei 1998)
Mantan Ahli Dewan Undangan Likas