Skip to content

Rayuan Persekutuan Menyerang Hak 40% Sabah — DAP, Warisan dan Pemimpin Sabah dalam Kerajaan Madani Mesti Nyatakan Pendirian

(KOTA KINABALU, 14 November 2025) Notis Rayuan yang difailkan hari ini bukanlah “rayuan teknikal” atau “rayuan terhad”. Ia merupakan serangan langsung terhadap penghakiman Mahkamah Tinggi yang mendedahkan hampir lima dekad pelanggaran perlembagaan terhadap Sabah. Ia juga bercanggah dengan jaminan Pejabat Perdana Menteri dan Jabatan Peguam Negara pada 11 November bahawa hanya “kecacatan alasan” akan dirayu.

Rayuan yang difailkan ini jauh lebih luas dan menyasarkan dapatan penting yang memberi kuasa sebenar kepada hak 40% Sabah, termasuk:
• dapatan bahawa tiada semakan sah selepas 1973,
• keputusan bahawa Warta 2022, 2023 dan 2025 adalah tidak berperlembagaan,
• dapatan bahawa Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Sabah melanggar kewajipan perlembagaan,
• perintah pembayaran ganti rugi perlembagaan dan penyerahan akaun,
• serta keperluan semakan perlembagaan baharu di bawah Perkara 112D.

Ini bukan isu teknikal. Ini adalah tiang pelaksanaan yang memastikan hak 40% tidak menjadi “undang-undang atas kertas”. Jika dapatan ini diketepikan, Sabah akan kembali kepada ketidakadilan 48 tahun dari 1974 hingga 2021.

Beberapa hari lalu, DAP Sabah memuji kononnya “tiada rayuan”. Kini apabila rayuan telah difailkan, rakyat Sabah berhak bertanya:

Adakah DAP Sabah, Warisan dan semua pemimpin Sabah dalam Kerajaan Madani menyokong Notis Rayuan ini — YA atau TIDAK?

Diam bukan lagi pilihan.

Menteri-menteri DAP dan wakil Warisan dalam Kerajaan Madani tidak boleh terus berselindung di sebalik kenyataan media.
Dengan kekal dalam Kabinet ketika rayuan ini berjalan, mereka adalah komplicit dalam serangan terhadap hak Sabah.

Jika mereka benar-benar bersama Sabah, jika mereka benar-benar percaya kepada MA63 dan keadilan perlembagaan, mereka mesti meletakkan jawatan serta-merta.

Rakyat Sabah berhak mendapat pemimpin yang berani mempertahankan Sabah, bukan mereka yang bergantung kepada jawatan Persekutuan ketika kemenangan bersejarah Sabah diserang di mahkamah. Jika tidak berani mencabar kerajaan persekutuan sendiri, bagaimana mahu mempertahankan masa depan Sabah?

Hak 40% Sabah bukan ihsan, bukan bahan tawar-menawar dan bukan slogan politik. Ia adalah jaminan perlembagaan yang jelas termaktub dalam Perkara 112C dan Jadual Kesepuluh. Sebarang rayuan yang melemahkan penguatkuasaan keputusan tersebut adalah pengkhianatan terhadap Sabah dan MA63.

Jika Kerajaan Persekutuan benar-benar ikhlas, ia mesti menarik balik Notis Rayuan ini sepenuhnya dan melaksanakan hak 40% secara telus, segera dan tanpa syarat. Selain daripada itu hanyalah strategi politik, bukan keikhlasan.

Peguam Yong Yit Jee
Ahli Majlis Tertinggi merangkap Naib Ketua Pemuda
Parti Maju Sabah (SAPP)