Skip to content

SAPP teguh pertahankan prinsip kepimpinan tulen parti tempatan untuk Sabah

KOTA KINABALU, Sabtu, 4 Oktober 2025:

Majlis Tertinggi Parti Maju Sabah (SAPP) telah bersidang hari ini bagi menegaskan semula visi jangka panjang kami: sebuah kerajaan di Sabah yang dipimpin sepenuhnya oleh parti-parti tempatan.

Mengikuti contoh kejayaan Sarawak, kami percaya bahawa Sabah juga mampu membentuk sebuah kerajaan yang terdiri sepenuhnya daripada parti-parti tempatan.

Kami menegaskan bahawa pilihan raya negeri Sabah wajar ditandingi secara eksklusif oleh parti-parti tempatan bagi kesemua 73 kerusi Dewan Undangan Negeri. Pendekatan ini menegakkan prinsip kami, memperkukuh autonomi tempatan, dan memastikan pentadbiran negeri kekal di tangan parti-parti politik Sabah.

Kami telah menetapkan bahawa perpisahan dengan GRS merupakan satu perkara yang tidak dapat diundurkan dan telah muktamad (fait accompli).

Walaupun parti-parti tempatan di Sabah mungkin mengambil strategi yang berbeza, kami berkongsi matlamat yang sama: menghalang kuasa luar daripada mempengaruhi pentadbiran Sabah.

Berpandukan prinsip “Sabah for Sabahans”, kami bertindak seiring dengan kehendak pengundi Sabah, memperjuangkan hak penentuan nasib sendiri dan autonomi negeri.

Apabila Dewan Undangan Negeri dibubarkan, semua kerusi kembali kepada rakyat. Tidak wujud konsep kerusi milik parti atau individu.

SAPP kekal beriltizam memperkasakan politik tempatan, memastikan pentadbiran yang berdedikasi serta lahir daripada rakyat Sabah sendiri, dan menegakkan prinsip bahawa kerajaan Sabah mesti dipilih oleh rakyat Sabah, daripada parti-parti Sabah.

Chin Vui Kai
Ketua Penerangan, SAPP