Skip to content

Gee: “Suka Suka Tax” DAP terus membebankan rakyat

KOTA KINABALU, Khamis, 11 Sept 2025:

Kementerian Kewangan yang berada di bawah kawalan peminpin kanan DAP sekali lagi menunjukkan sikap tidak peka terhadap kesusahan rakyat dengan memperluaskan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST), mengekalkan Cukai Barangan Nilai Rendah (LVGT), serta bersedia mengenakan Cukai Barangan Nilai Tinggi (HVGT).

Pendekatan yang terburu-buru ini telah digelar sebagai “suka suka tax” kerana seolah-olah cukai baharu diperkenalkan mengikut kehendak menteri tanpa mengambil kira penderitaan rakyat biasa.

Pada kadar ini, mungkin kementerian juga akan mencipta “Cukai Barangan Nilai Sederhana” semata-mata untuk memastikan tiada barangan yang terlepas. Sindiran ini menggambarkan rasa kecewa rakyat terhadap sebuah kerajaan yang seolah-olah terpisah daripada kesusahan harian keluarga dan peniaga kecil.

Sistem percukaian yang adil mestilah berasaskan tiga prinsip: Pertama, ia mestilah mampu ditanggung supaya rakyat tidak terbeban di tengah kos sara hidup yang meningkat. Kedua, ia mestilah jelas supaya peniaga dan pengguna dapat memahami dengan mudah apa yang dikenakan cukai tanpa perlu bergelut dengan lapisan SST, LVGT dan HVGT. Ketiga, ia mestilah dapat dikuatkuasakan dengan adil dan realistik.

Kementerian Kewangan di bawah pimpinan DAP telah mengabaikan prinsip ini dan memilih untuk mengaut setiap ringgit daripada rakyat.

“Ini bukan reformasi sebenar, sebaliknya hanyalah langkah mendapatkan hasil atas kesengsaraan rakyat.”

SAPP mengecam keras budaya “suka suka tax” yang tidak bertanggungjawab ini. Kerajaan mesti berhenti menjadikan poket rakyat sebagai bahan eksperimen dan sebaliknya membina kerangka percukaian yang seimbang antara keperluan hasil negara dengan kemampuan rakyat biasa untuk hidup dengan bermaruah.

Gee Tien Siong
Naib Presiden
Parti Maju Sabah (SAPP)