Skip to content

SAPP memperingatkan rakyat supaya berwaspada terhadap kandungan penerbitan dari Malaya menjelang PRN17

KOTA KINABALU, Khamis, 28 Ogos 2025:

Adalah dimaklumkan bahawa Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17) merupakan satu proses demokrasi khusus untuk Negeri Sabah kerana ia berpaksikan mandat rakyat Sabah dalam usaha melantik kerajaan negeri pilihan kita sendiri. Namun demikian, Sabah kini sedang dihujani dengan kempen-kempen kandungan terancang yang diilhamkan dan diterbitkan dari Malaya.

Gerakan bersifat mengelirukan seumpama ini sebenarnya telah giat dijalankan sejak era sebelum berlangsungnya Pilihan Raya Umum 2013, iaitu ketika media sosial mula melebarkan pengaruhnya. Pada peringkat awal, ia digerakkan menerusi penggunaan akaun-akaun palsu yang diwujudkan secara manual. Menjelang tahun 2018, pihak kami telah berjaya mengesan bahawa sebanyak 80% daripada serangan media sosial yang dilancarkan terhadap SAPP berpunca dari negeri Johor.

Ancaman terkini yang wujud adalah bagaimana media sosial kini telah berkembang menjadi gerak kerja yang lebih canggih dan terperinci, dengan memanfaatkan teknologi berasaskan Kecerdasan Buatan (AI) serta penggunaan akaun-akaun yang diselaraskan secara sistematik. Matlamatnya tidak lain hanyalah untuk mempengaruhi persepsi khalayak ramai, termasuk rakyat Sabah, secara tidak wajar.

Kewujudan meluas media dalam talian palsu yang menyasarkan Sabah

Pasukan media dalaman kami telah berjaya mengesan kewujudan sejumlah besar profil media sosial yang meragukan kesahihannya dan sedang giat aktif di alam maya. Ini termasuk beberapa profil yang mendakwa berasal dari Dubai, namun anehnya tekal memberi kupasan mengenai isu-isu semasa Sabah serta menyasarkan parti-parti politik di negeri ini.

Terdapat juga sebuah akaun yang mengaku berasal dari Tawao, Sabah (suatu ejaan yang diputarbelit daripada ejaan rasmi, Tawau). Beberapa profil yang menggunakan nama Melayu turut diperhatikan mampu mengarang ulasan dalam bahasa Cina dengan fasih. Ini hanyalah sebahagian kecil daripada contoh yang wujud, selain lambakan akaun yang dikendalikan oleh ladang klik (click-farms).

Tindakan perundangan terhadap Roketkini.com dan DAP sebagai rujukan

Sebagai rujukan, suatu tindakan perundangan telah dimulakan terhadap roketkini.com, iaitu sebuah portal sesawang di bawah naungan DAP, yang jelas membuktikan ancaman nyata penyebaran maklumat palsu dari Malaya bagi mengelirukan rakyat Sabah.

Pada 10 Julai 2025, saya, bersama-sama sejarawan Stephan Gaimin dan aktivis Asraf Amir, telah memfailkan suatu tindakan undang-undang terhadap portal tersebut, yang berfungsi sebagai wadah penyebaran dakyah parti DAP. Untuk rekod, portal roketkini.com telah dilancarkan secara rasmi oleh tokoh utama DAP, Lim Guan Eng, bersama beberapa pemimpin parti itu pada 24 Mei 2011. Laman sesawang berkenaan sarat dengan bahan propaganda DAP.

Secara semberono, pihak DAP dalam pembelaannya kini mendakwa bahawa laman sesawang roketkini.com bukanlah sebarang entiti sah di sisi undang-undang, justeru tidak boleh dikenakan tindakan saman.

Tindakan perundangan kami secara khusus menyasarkan sebuah artikel yang diterbitkan pada 24 Februari 2013. Artikel tersebut membuat perkaitan palsu antara sekeping gambar angkatan tentera MNLF yang lengkap bersenjata dengan insiden pencerobohan di Tanduo, Lahad Datu pada tahun 2013, walhal gambar tersebut tiada kaitan sama sekali.

Lebih mendukacitakan, gambar yang sama daripada portal itu kemudiannya dipetik dan dirujuk dalam sebuah buku terbitan Penerbit Universiti Malaysia Sabah (UMS) berjudul “Kedaulatan Negara Harga Mati: Pencerobohan Sulu dan Dampaknya Kepada Keselamatan Pantai Timur Sabah”.

Insiden ini membuktikan bahawa institusi dan para penulis yang dihormati juga boleh terperangkap dalam jerat kandungan yang dihasilkan di luar Sabah oleh pihak-pihak yang tidak berwibawa atau tidak bertanggungjawab. Keadaan ini mungkin berlaku kerana DAP kini merupakan parti pemerintah dalam Kerajaan Persekutuan, menyebabkan segala bahan terbitannya dianggap sebagai sumber yang sahih dan rasmi.

“Hari Ini Tindak, Esok Turun”

Dalam tempoh kurang daripada 24 jam selepas pemfailan tindakan perundangan kami terhadap roketkini.com dan DAP, kandungan penerbitan tersebut telah diturunkan serta-merta, hanya tinggal paparan ralat HTTP 404 (Kandungan tidak dijumpai).

Kemenangan pusingan pertama bagi rakyat Sabah ini telah digelar sebagai “Hari ini bertindak, esok turun.”

Melalui pembelaan yang dikemukakan, kedua-dua defendan (DAP dan roketkini.com) sama sekali tidak menunjukkan sebarang kekesalan terhadap kesilapan serius yang mereka lakukan, seolah-olah perbuatan tersebut tidak mendatangkan implikasi.

Sekiranya tindakan undang-undang ini tidak diambil, sudah tentu pihak defendan akan terus menyiarkan gambar mengelirukan itu tanpa sebarang kebimbangan terhadap tindakan atau balasan.

Selaku plantif, kami menjangkakan sekurang-kurangnya suatu permohonan maaf serta jaminan untuk tidak mengulangi kesalahan yang sama atau seumpamanya. Namun, kami sebaliknya ditinggalkan dengan tanggapan bahawa pihak DAP dan roketkini.com berasa mereka boleh terlepas begitu sahaja daripada sebarang kewajiban atas kesalahan tersebut.

Justeru, SAPP menyeru segenap lapisan rakyat Sabah agar sentiasa berwaspada dan berhati-hati terhadap sebarang kandungan dari Malaya yang bertujuan mempengaruhi landskap politik PRN17.

Datuk Yong Teck Lee
Presiden, Parti Maju Sabah (SAPP)