Skip to content

Yong: Peraturan Cukai Baharu ke atas Persatuan Harus Dibatalkan

Yong menunjuk pada Practice Note 1/2025 di laman web LHDN

Kota Kinabalu, Rabu, 6 Ogos 2025

Kerajaan digesa membatalkan pelaksanaan peraturan cukai baharu ke atas aktiviti pengumpulan dana oleh pertubuhan dan persatuan masyarakat. Dana yang dikumpul oleh badan-badan ini amat diperlukan untuk menampung operasi dan perkhidmatan yang mereka sediakan kepada masyarakat.

Peraturan baharu ini bukan sahaja menimbulkan kekeliruan dan kepayahan, malah turut mencetuskan kebimbangan dalam kalangan pemimpin masyarakat dan komuniti secara umum.

Practice Note 1/2025, yang dikeluarkan pada 24 Mac oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri, telah memperluaskan definisi terhadap orang kena cukai kepada “Badan Orang” yang merangkumi persatuan komuniti.

Saya menyokong penuh pandangan Tan Sri T.C. Goh, Presiden Gabungan Persatuan Cina Sabah (HuaZhong), yang menyatakan bahawa cukai ini akan menjadi beban kepada lebih 10,000 NGO yang aktif di seluruh negara. Lebihan dana daripada aktiviti pengumpulan dana bukanlah untuk keuntungan, tetapi digunakan bagi membiayai program komuniti jangka panjang.

Ketidakpatuhan mendedahkan pemimpin komuniti kepada pertuduhan jenayah

Apa yang membimbangkan, ketidakpatuhan terhadap peraturan ini walaupun tidak disengajakan boleh menyebabkan pemimpin persatuan dikenakan tindakan jenayah kerana dianggap mengelak cukai.

Realitinya, kebanyakan persatuan tidak mampu membayar perkhidmatan profesional seperti akauntan, juruaudit atau perancang cukai. Pemimpin persatuan lazimnya adalah individu yang tidak berkepentingan peribadi dan sanggup berkorban masa serta wang sendiri demi khidmat sosial dan kebajikan masyarakat.

Lebih memburukkan keadaan, usaha mengumpul dana komuniti pada masa kini sudah pun menjadi sangat mencabar. Pemimpin masyarakat terpaksa merayu kepada penaja yang selalunya merupakan ahli perniagaan biasa, individu yang kini turut terbeban dengan SST (Cukai Jualan dan Perkhidmatan), e-invois bagi setiap transaksi dan duti setem ke atas kontrak pekerjaan.

Meskipun kerajaan sering memberikan gambaran yang optimistik, realiti sebenar yang dialami di peringkat akar umbi ialah suasana perniagaan yang suram dan membebankan.

Menteri, Sila Lakukan Sesuatu

Saya menyeru agar para wakil rakyat dan menteri, yang sering menerima layanan VIP dalam majlis anjuran persatuan komuniti, agar bersuara dan bertindak segera sebelum lebih banyak kerosakan menimpa pertubuhan komuniti dan kebajikan masyarakat.

Datuk Yong Teck Lee
mantan Ketua Menteri Sabah
Presiden, Parti Maju Sabah (SAPP)