Skip to content

Yong memegang salinan Enakmen Bekalan Air Sabah 2003

SIARAN AKHBAR

Yong: Gantikan Jabatan Air dengan Badan Air Profesional Yang Baru

Kota Kinabalu, Sabtu, 19 Julai 2025

Penggantian sepenuhnya Jabatan Air Sabah dengan sebuah badan berkanun baharu, kini diperlukan. Hal ini kerana semakin jelas punca utama masalah bekalan air di Sabah berpunca daripada Jabatan Air itu sendiri.

Sabah mempunyai sumber air yang banyak, termasuk daripada sungai, hujan dan juga laut. Selama beberapa dekad, berbilion-bilion ringgit telah dibelanjakan untuk sistem bekalan air. Kita juga mempunyai Enakmen Bekalan Air Sabah 2003 yang memberikan kuasa luas kepada jabatan kerajaan yang penting ini. Namun begitu, kita masih gagal menyelesaikan isu utiliti paling asas yang amat diperlukan dalam kehidupan harian, iaitu bekalan air.

Pada April 2023, dalam sesi pra-persidangan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sabah yang dipengerusikan oleh Ketua Menteri, beliau secara terbuka meluahkan rasa kecewa terhadap masalah bekalan air yang berterusan. Menteri Kerja Raya ketika itu pula baru sahaja dilantik ke portfolio berkenaan.

Dalam mesyuarat itu, saya menyatakan bahawa menteri tidak seharusnya bergantung sepenuhnya kepada Jabatan Air untuk mencari penyelesaian kerana masalah sebenar adalah jabatan itu sendiri. Menteri dan Ketua Menteri perlu melihat di luar Jabatan Air kerana wujud penyelesaian yang lebih berdaya maju dan kos efektif. Ketua Menteri ketika itu kedengaran tertekan dengan isu bekalan air yang berpanjangan. Saya tidak pasti sama ada pandangan saya didengari atau dipertimbangkan.

Saya telah membuat kajian terperinci

Sebagai plaintif yang berjaya dalam kes berkaitan Jabatan Air pada tahun 2019, saya telah menjalankan penyelidikan menyeluruh terhadap prestasi dan kegagalan Jabatan Air selama beberapa dekad. Sungguh tidak masuk akal apabila Menteri sendiri terpaksa mengarahkan (seperti yang dilaporkan) Jabatan Air untuk menyiasat punca kekurangan bekalan air di Putatan dan Kota Kinabalu, walaupun Loji Rawatan Air Kasigui yang baharu dengan tambahan lima juta liter sehari telah siap dibina. Hasil siasatan Jabatan Air mendapati bahawa masalahnya adalah pada sistem pengedaran.

Jabatan Air bukanlah baru ditubuhkan

Pertama, Jabatan Air tidak sepatutnya menunggu arahan daripada menteri sebelum bertindak. Kedua, masalah pengedaran dan paip telah diketahui sejak bertahun-tahun dahulu. Jabatan Air bukanlah satu entiti baharu. Malah, Enakmen Bekalan Air Sabah telah digubal sejak 22 tahun lalu. Tempoh ini bersamaan dengan satu generasi rakyat Sabah.

Melangkah ke hadapan, penggantian Jabatan Air perlu dilakukan melalui pindaan kepada Enakmen Bekalan Air 2003, dengan membubarkan Jabatan Air sedia ada dan membentuk semula sebuah badan profesional baharu. Ramai jurutera dan pentadbir air yang cekap serta berintegriti di Sabah mampu menjalankan tugas dengan lebih baik berbanding struktur sedia ada.

Badan berkanun bekalan air yang baharu ini boleh diterajui oleh golongan profesional yang berkaliber, dengan pentadbir berpengalaman dan bersemangat tinggi untuk menyelesaikan isu bekalan air di Sabah secara tuntas.

Kini, keputusan terletak di tangan Kerajaan Sabah.

Datuk Yong Teck Lee
Mantan Ketua Menteri Sabah