Skip to content

Yong: Alangkah baiknya saya ada lebih ramai pegawai seperti beliau

Caption: 2005 photo of Global Hakka courtesy call on TYT Tun Ahmadshah Bin Abdullah at Istana, Kota Kinabalu.

Kota Kinabalu, Rabu, 21 Mei 2025

Pemergian mantan Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Datuk Seri Panglima Haji Ahmadshah Bin Abdullah, merupakan satu kehilangan yang amat dirasai. Sabah telah kehilangan seorang tokoh yang berwibawa dan sentiasa berdedikasi.

Allahyarham Datuk Ahmadshah (seperti gelaran beliau ketika itu) telah berkhidmat sebagai pegawai kanan kerajaan negeri Sabah dengan penuh kecemerlangan, dedikasi, dan ketekunan.

Semasa saya menjawat jawatan Ketua Menteri Sabah dari tahun 1996 hingga 1998, saya pernah menyatakan secara peribadi kepada Setiausaha Kerajaan Negeri ketika itu, Tan Sri Khalil Jamalul, bahawa: “Alangkah baiknya jika saya mempunyai lebih ramai pegawai seperti Datuk Ahmadshah.” Pada masa itu, Tan Sri Khalil merupakan ketua kepada Datuk Ahmadshah, yang ketika itu memegang jawatan Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri.

Sehingga tahun 2005, semasa saya menyertai rombongan Global Hakka (Global Union for Tshung Tsin and Hakka Association) dalam satu kunjungan hormat ke atas Tun Ahmadshah di Istana, barulah beliau mendedahkan kepada saya bahawa Tan Sri Khalil pernah menyampaikan kepadanya tentang kata-kata keinginan saya itu (dengan ungkapan asal): “I wish I have more officers like Datuk Ahmadshah”. Tun Ahmadshah menyatakan bahawa beliau amat terharu dan berasa terdorong oleh kata-kata ikhlas itu.

Saya merakamkan ucapan takziah yang setulusnya kepada seluruh ahli keluarga atas pemergian Tun Ahmadshah. Semoga roh beliau dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan orang-orang yang beriman.

Datuk Yong Teck Lee
Mantan Ketua Menteri
28 Mei 1996 – 27 Mei 1998