Skip to content

Batalkan monopoli import beras oleh Bernas: SAPP

KOTA KINABALU: Sabah harus mendapatkan kembali haknya untuk mengimport dan mengeksport beras, kata timbalan presiden SAPP Japiril Suhaimin.

“Kerajaan Persekutuan harus mengamalkan dasar terbuka terhadap import beras di mana rakyat Malaysia akan mendapat manfaat kerana harga makanan ruji itu kemudiannya boleh dikurangkan sekurang-kurangnya 50 peratus.

“Kerajaan mesti menamatkan monopoli dan mengeluarkan lesen kepada syarikat lain supaya wujud persaingan sihat dalam import beras,” katanya dalam satu kenyataan, Isnin.

Beliau mendakwa konsesi Bernas sebagai pengimport tunggal negara adalah tidak adil.

“Perlu ada kajian semula dan kerajaan tidak perlu melanjutkan konsesi monopoli Bernas.

“Bernas telah mengaut keuntungan berbilion ringgit sejak 2018.

“Keuntungan terkumpul Bernas pada 2018 ialah RM1.2 bilion, RM1.3 bilion pada 2019 dan RM798 juta pada 2020,” katanya.