Skip to content

Jelajah Pemuda SAPP untuk promosikan IC Sabah

Kota Kinabalu, 10 Mei 2022

KOTA KINABALU: Pergerakan Pemuda Parti Maju Sabah (SAPP) telah merancang program jelajah Promosi IC Sabah bermula dari 11 hingga 15 Mei yang akan meliputi jarak perjalanan kira-kira 1,600 kilometer merentasi Sabah.

Ketua Pemudanya Jamain Sarudin berkata tujuan lawatan itu adalah untuk menyampaikan mesej melalui pengedaran risalah bagi memberi kesedaran dan mendidik seluruh rakyat Sabah tentang kepentingan memiliki IC Sabah yang menjamin perlindungan hak rakyat Sabah.

Sepanduk yang mengandungi slogan seperti “Jaminan Perlindungan Hak Rakyat Sabah” juga akan dipamerkan di setiap perhentian jelajah.

Jamain berkata destinasi pertama akan bermula hari pertama dari Penampang, kemudian meneruskan ke Papar, Membakut, Beaufort, Sipitang dan Tenom. Hari kedua ke Tambunan, Keningau dan Tawau. Hari ketiga pula perjalanan akan diteruskan melalui Lahad Datu dan Sandakan. Hari keempat ialah Kundasang, Ranau, Kota Marudu, Kota Belud, Tuaran dan Tamparuli. Manakala pada hari kelima dan terakhir ialah di Kota Kinabalu di mana acara kemuncak adalah di Lintasan Deasoka, pada hari Ahad, jam 10:00 pagi.