Skip to content

Nyawa Rakyat Sabah Penting
SAPP mengulangi gesaan untuk menyediakan pusat panggilan kecemasan di Sabah

Kota Kinabalu, 6 Mei 2022

KOTA KINABALU: Parti Maju Sabah (SAPP) memperbaharui gesaannya kepada kerajaan untuk menubuhkan pusat panggilan sendiri bagi Sabah untuk memastikan tindakbalas pantas dan cekap dalam situasi kecemasan.

Pada masa ini, panggilan ke sistem MERS999 Sabah akan disambungkan terus kepada KL sebelum diserahkan kepada pihak berkuasa Sabah. MERS999 merangkumi 5 jabatan seperti Polis, Jabatan Bomba & Penyelamat (Bomba), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Hospital dan Maritim.

“Ini adalah situasi yang tidak masuk akal seolah-olah nyawa orang Sabah tidak penting,” kata naib presiden SAPP Gee Tien Siong.

Katanya, kes Lew Kok Fai, 54, yang meninggal dunia akibat kemalangan di Kolombong baru-baru ini, boleh diselamatkan jika tidak kerana kelewatan bantuan berikutan maklum balas yang perlahan daripada pusat panggilan di KL. Masa yang kritikal dan penting telah dibazirkan mengakibatkan kehilangan satu nyawa.

Gee mengimbas semula bahawa timbalan presiden SAPP Edward Dagul telah membuat saranan pada September 2021 untuk menghentikan panggilan kecemasan yang melencong ke KL yang sangat tidak praktikal dan perlahan. Edward berkata, nyawa 4 sekeluarga yang mati hangus di Taman Hungap Penampang ketika itu boleh dielakkan jika tidak kerana salah komunikasi dan minit atau saat berharga yang hilang dalam menangani MERS 999 yang berpangkalan di KL.

Gee berkata adalah perlu bagi kerajaan Sabah menubuhkan pusat panggilan kecemasan sendiri untuk menangani kecemasan ini bagi mengelakkan kelewatan maklum balas, kekeliruan dan salah komunikasi yang penting dalam menyelamatkan nyawa.

“Janganlah kita biarkan kehilangan nyawa berulang lagi disebabkan ketidakcekapan sistem.

“Jika pihak berkuasa gagal mengutamakan kehidupan Sabah. SAPP akan mengambil tindakan politik dan tindakan undang-undang selanjutnya untuk memaksa pihak berkuasa mempunyai pusat panggilan kecemasan tempatan yang cekap untuk rakyat di Sabah dan dikendalikan oleh orang Sabah yang biasa dengan lokasi geografi tempatan,” kata Gee.