Skip to content

SAPP: IC Sabah ke Kabinet satu langkah besar ke hadapan

KOTA KINABALU, 25 Mac 2022

Pengumuman Ketua Menteri di DUN untuk membawa perkara Kad Pengenalan Sabah (Sabah IC) ke Kabinet Negeri sememangnya satu langkah besar ke hadapan.

Timbalan Presiden Parti Maju Sabah (SAPP) yang juga Setiausaha Agung Parti, Datuk Richard Yong Wee Kong berkata ianya sudah lama diperjuangkan oleh SAPP agar kerajaan Sabah mengeluarkan IC Sabah.

Menurutnya lagi, Idea IC Sabah dimulakan enam tahun lalu apabila secara jelas kerajaan Persekutuan tidak akan menyelesaikan isu dokumen kerakyatan yang meragukan yang diberikan kepada warga asing. RCI mengenai Pendatang Asing Tanpa Izin telah mengesahkan apa yang sudah diketahui ramai, iaitu pengeluaran dokumen yang meragukan kepada pendatang tanpa izin dan warga asing lain yang bertentangan dengan kepentingan Sabah dan rakyatnya.

Kehadiran sejumlah besar pendatang di Sabah dan kewujudan undang-undang yang meragukan di mana MyKad telah dikompromi, yang memberi kesan kepada demografi, mengancam keselamatan, kedaulatan dan kesejahteraan sosial Sabah.

“Kita terus berkempen untuk menyelesaikan masalah pendatang walaupun ia adalah perjuangan yang sukar” kata Richard lagi.

Kempen untuk IC Sabah mendapat momentum baru-baru ini berikutan permintaan ramai daripada rakyat. Topik IC Sabah telah dibincangkan secara meluas dan mendapat sambutan positif ramai semasa pilihan raya negeri Sabah (PRN16), pada September 2020.

Cadangan IC Sabah yang diketengahkan oleh Presiden SAPP DSP Yong Teck Lee dalam Dewan Undangan Negeri baru-baru ini telah mendapat pengesahan Ketua Menteri untuk membawa perkara itu ke Jemaah kabinet. Keputusan ini disambut baik oleh sebahagian besar rakyat.

“IC Sabah akan memberikan rakyat Sabah tulen (asli) identiti mereka yang tidak boleh dipertikaikan” jelas Richard.

Menurutnya, pemilik IC Sabah akan menikmati semua keistimewaan serta hak yang dimaksudkan untuk rakyat Sabah dan keturunan mereka.

“Ia akan memberikan mereka rasa bangga yang sebenar sebagai “Anak Sabah” tambah beliau lagi.

Richard juga optimis dengan adanya teknologi tinggi hari ini, kad itu akan mengandungi lebih banyak butiran dan maklumat pemegang kad untuk memastikan hanya rakyat Sabah yang tulen mendapat kad tersebut.