KOTA KINABALU, 15 November 2021: Tembok kontroversi yang didirikan di Lido Plaza yang menghalang penggunaan awam rizab jalan adalah tidak sah dalam undang-undang dan perlu dirobohkan secepat mungkin, kata Ahli Majlis Tertinggi SAPP Yong Yit Jee.
Yong yang juga seorang peguam berkata, beliau telah membuat pengesahan dengan Majlis Daerah Penampang (“MDP”) dan pihak pemaju dan telah disahkan bahawa tembok itu didirikan secara haram kerana ia tidak pernah diluluskan oleh MDP dan tidak dibina oleh MDP ataupun pihak pemaju.
“Tembok ini telah menghalan penggunaan awam jalan rezab masuk dan keluar Kg Kobusak dari Lido Plaza dan ia juga menyebabkan kesesakan di Kawasan itu,” Yong berkata.

“Ianya sangat menghairankan kenapa isu tembok kontroversi ini masih tidak dapat diselesaikan walaupun ia telah didirikan lebih daripada 6 tahun.”
Yong pergi meninjau kawasan tersebut berikutan aduan pengusaha-pengusaha kedai Lido Plaza. Mereka juga telah bersama-sama menandatangani surat aduan kepada MDP.
Yong juga berkata isu ini ditambah teruk lagi dengan pengurusan sampah yang teruk. Tong sampah telah dialihkan dari Pusat Tong Sampah dan sampah-sarap bertaburan di seluruh jalan tersebut. Ini berbahaya dan memudaratkan kesihatan masyarkat dan alam sekitar, dan menjejaskan pengusaha kedai, orang awam dan penduduk berhampiran.
“Saya menggesa supaya Majlis Daerah Penampang mengambil tindakan pantas untuk merobohkan tembok haram tersebut dan membersihkan Pusat Tong Sampah dengan kerap supaya orang awam, pengusaha kedai dan penduduk berhampiran dapat menikmati persekitaran yang bersih, selamat dan sihat.”

