Skip to content

SAPP: “MoU” tiada makna tanpa Warisan

Kota Kinabalu, Isnin 25 Oktober 2021.

Perbincangan sulit diantara Pakatan Harapan (PKR / DAP / UPKO) dengan pemimpin Gabungan Rakyat Sabah (GRS) di sebalik tabir telah dibocorkan oleh pemimpin PH yang terlalu ingin MoU ditandatangani.

SAPP berpendapat bahawa sebarang perjanjian diantara GRS dan parti pembangkang di Sabah tiada makna tanpa penyertaan Parti Warisan, sebuah parti tempatan Sabah yang bukan anggota PH. Ini kerana parti pembangkang PKR / DAP adalah parti dari Semenanjung. Pemimpin mereka (PKR/DAP) di Sabah pula tidak mempunyai hak untuk bersuara, sehinggakan perbincangan sulit antara pemimpin tertinggi DAP dan GRS mesti diketuai oleh supremo DAP, Lim Guan Eng

Di Sabah, hakikatnya parti pembangkang utama adalah Warisan, bukan PH. Satu-satunya parti tempatan dalam PH ialah UPKO. Justeru, secara realistic sebarang perbincangan mengenai sebarang perjanjian kerjasama dengan parti pembangkang di Sabah harus melibatkan Warisan. Sama ada Warisan mahu terlibat atau tidak adalah perkara berbeza yang perlu ditangani apabila tiba masanya untuk menyeberangi jambatan tersebut.

Selanjutnya, setiap perjanjian kerjasama antara GRS dan pihak pembangkang harus menegakkan aturan Hukum atau kedaulatan undang undang. Pakatan kerjasama tidak harus dicemari oleh sebarang tanda “penyelesaian di luar mahkamah” kes mahkamah yang sedang dijalankan atau litigasi lain di hadapan mana-mana mahkamah Undang-undang.

Oleh: Datuk Yong Teck Lee
Presiden SAPP
Timbalan Pengerusi, Perikatan Nasional