Skip to content

SAPP gesa K’jan Negeri campur tangan kes mahkamah Petronas, Sarawak

4793-1823747513

KOTA KINABALU, Jun 14, 2018: Presiden Parti Maju Sabah (SAPP) Datuk Yong Teck Lee menggesa Kerajaan Negeri untuk campur tangan dalam kes mahkamah yang sedang berjalan antara Petronas dan Kerajaan Sarawak.

Katanya keputusan kes tersebut akan memberi kesan kepada Sabah.

“Petronas membawa pertikaian pemilikan minyak dan gas dengan Kerajaan Sarawak ke mahkamah untuk mendapatkan pemilikan eksklusif dan kawalan penuh ke atas sumber-sumber di Sarawak, yang bertentangan dengan perjanjian bekas dan Kerajaan Persekutuan sekarang ini,” katanya semasa Mesyuarat Agung Tahunan SAPP Luyang , baru-baru ini.

Beliau turut mengingatkan ahli-ahli parti itu bahawa perjuangan SAPP akan diteruskan untuk Sabah walaupun kalah semasa Pilihan Raya.

“SAPP akan diberikan nafas baru dengan mempunyai pemimpin baru yang boleh mengubah masa depan Sabah.

“Rakyat Malaysia mengundi disebabkan cukai barangan dan perkhidmatan (GST), Umno, Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Najib Tun Razak dan 1MDB dalam Pilihan Raya Umum Ke-14.

“Keputusan itu membuktikan bahawa kuasa rakyat mampu mengubah landskap politik.

“Kini semua isu-isu ini tamat, rakyat Sabah boleh fokus dengan isu teras masa hadapan, seperti hak-hak Sabah, MA63, hak minyak dan gas, autonomi Sabah dan Kad Pengenalan Sabah.”

Sementara itu, Yong berkata pengunduran SAPP dari BN pada 2008 telah dibuktikan sepenuhnya hari ini.

“Parti-parti tempatan Sarawak juga telah menutup BN.

“Ini adalah aliran hari ini di mana parti-parti politik Sabah dan Sarawak tidak lagi tunduk kepada parti-parti di Malaya. Ini tidak boleh dielakkan,” katanya.

Beliau juga berkata, parti itu mengalu-alukan parti lain di Sabah dan Sarawak untuk menyertai perjuangan itu.

“SAPP berpandangan jauh dan berani meninggalkan BN pada 2008…parti-parti lain yang meninggalkan BN sekarang hanya mengikut aliran tersebut.

“Kami kini fokus terhadap era monopoli kuasa Umno/BN di mana monopoli itu berakhir pada 9 Mei tahun ini,” katanya.