Klip video: Yong buat laporan polis

KOTA KINABALU, April 12, 2018: Bekas Ketua Menteri Datuk Yong Teck Lee membuat laporan polis berhubung klip video 16 saat yang menyerangnya dengan bahasa kesat dan penipuan.

Presiden Parti Maju Sabah (SAPP) itu membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Kinabalu.

Video yang menjadi tular di media social termasuk Facebook mengandungi visual Yong bercakap dalam dialek Hakka pada satu majlis tetapi suaranya telah ditukar dengan suara seorang.lelaki bercakap kesat mengenai dirinya.

“Ia mengandungi banyak perkataan kesat dalam Hakka, menyerang diri saya sendiri dan banyak penipuan kejam,” beliau memberitahu media selepas bertemu dengan penjaja-penjaja di pasar besar Kota Kinabalu.

Klip video itu menjadi tular di media sosial ketika jangkaan meluas bahawa bekas Adun Likas itu besar kemungkinan akan bertanding pada pilihan raya umum ke-14 kelak.

Menurutnya, klip video itu mula menjaditular sejak lewat malam Selasa lepas dan mendakwa ia adalah perbuatan parti lawan yang mahu memberi gambaran buruk terhadapnya.

Yong berkata beliau akan mencari siapa pelakunya dan menawarkan ganjaran kepada sesiapa yang dapat mengenai pasti siapa pemilik suara di dalam klip video itu.

“Saya mahu saman orang itu kerana memfitnah,” katanya sambil menggesa polis menyiasat perkara itu secara terperinci.

Yong turut berdepan kempen memburuk-burukkan pada pilihan raya 2013 apabila sesetengah parti pembangkang menuduh beliau menerima “rasuah RM80 juta”.

“Kami melaporkan perkara itu (kepada polis). Tiada siapa didakwa dan orang yang bertanggungjawab fikir mereka sekali lagi akan teriepas,” kata Yong.

Beliau mengambil maklum bahawa satu saman sivil terhadap salah seorang “pelaku”memaksanya memohon maaf melalui iklan di akhbar.

“Tapi kerosakan telah berlaku, pilihan raya (2013) telah berakhir,” katanya.

“Kempen memburuk-burukkan seperti ini adalah tidak sihat. Mereka memusnahkan masyarakat dengan menyuntik nilai-nilai buruk. Amalan buruk seperti itu juga boleh menjejaskan pemimpin-pemimpin masyarakat, bukan sekadar ahli politik,” kata Yong.